Rahsia Pembantu Maya (Virtual Assistant) – Bahagian 2

Selamat bertemu kembali di dalam ruangan blog Jejak Usahawan Internet. Di dalam ruangan artikel blog sebelum ini, saya telah berkongsi mengenai kepentingan seseorang Pembantu Maya (Virtual Assistant) di dalam meningkatkan kejayaan bisnes internet anda. Jika anda terlepas artikel tersebut, anda boleh membacanya melalui pautan berikut: Rahsia Pembantu Maya untuk Usahawan Internet.

Artikel ini merupakan kesinambungan kepada artikel pertama tersebut. Di dalam kesempatan ini, saya ingin menjawab beberapa persoalan anda mengenai Pembantu Maya iaitu:

1.       Di mana untuk mendapatkannya?

2.       Apakah bayaran yang sesuai?

3.       Bagaimana untuk menguruskannya?

Biar saya kupas setiap persoalan di atas dengan lebih terperinci.

Di Mana?

Soalan ini merupakan soalan yang sering diutarakan. Saya pasti, anda juga mungkin ada terfikir mengenai persoalan ini.

Jadi di manakah anda boleh mendapatkan perkhidmatan seseorang pembantu maya?

Tempat pertama adalah melalui kenalan atau usahawan internet lain. Jika anda memerlukan seseorang pembantu maya untuk membantu bisnes internet anda, cara terbaik dan selamat untuk anda mendapatkan individu tersebut adalah melalui cadangan sahabat usahawan internet anda. Cuba hubungi sahabat-sahabat usahawan internet yang anda kenali dan dapatkan cadangan atau maklumat mengenai mana-mana individu lain yang mampu memberikan perkhidmatan yang anda perlukan itu.

Cara ini adalah lebih baik kerana selalunya individu yang dicadangkan itu sudah terbukti keupayaannya untuk memberikan perkhidmatan tersebut. Oleh itu, anda sudah tidak perlu risau tentang kualiti atau kebolehannya kerana sudah pasti sahabat anda itu juga sudah menggunakan perkhidmatannya itu. Sudah pasti sahabat anda ingin memberikan cadangan yang terbaik kepada anda dan bukan mencadangkan pembantu maya yang banyak masalah.

Selain itu, anda juga boleh mengunjungi forum-forum online seperti WangCyber.com dan mendapatkan maklumat mengenai ahli-ahlinya yang boleh memberikan perkhidmatan yang anda perlukan. Selalunya pasti ada pembantu maya yang menawarkan perkhidmatan mereka kepada ahli-ahli lain di dalam ruangan forum tersebut.

Pilihan terakhir adalah dengan melakukan carian melalui internet untuk pembantu maya yang anda perlukan. Jika anda melakukan dengan cara ini, anda perlu melakukan penyelidikan terlebih dahulu terhadap sebarang individu yang anda temui untuk memastikan yang mereka benar-benar boleh memberikan perkhidmatan yang anda perlukan dan bukannya scammers.

Berapa?

Soalan seterusnya yang sering ditanya adalah apakah bayaran yang bersesuaian dengan perkhidmatan pembantu maya?

Selalunya seseorang pembantu maya yang veteran akan memberikan “harga” perkhidmatan mereka kepada anda di awal komunikasi dengannya. Sebagai contoh, jika pembantu maya yang anda inginkan boleh membantu untuk melakukan alih bahasa transkrip dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia, mereka akan memberikan harga berdasarkan jumlah perkataan yang perlu mereka alih bahasa seperti RM0.20 untuk satu perkataan. Jenis perkhidmatan yang boleh mereka lakukan akan menjadi penentu kos perkhidmatan mereka. Lebih sukar atau lebih teliti kerja yang perlu mereka lakukan, maka sudah pasti akan lebih tinggi kos perkhidmatannya.

Jika pembantu maya anda merupakan seorang yang baru dan belum lagi memiliki pengalaman yang banyak di dalam menentukan bayaran perkhidmatannya, maka anda mempunyai peluang untuk menetapkan harga bayaran yang ingin anda berikan. Sebaik-baiknya anda melakukan penyelidikan anda sendiri terlebih dahulu berkenaan harga yang paling sesuai untuk anda tetapkan sebagai harga perkhidmatan. Anda tidak mahu meletakkan harga yang terlalu murah sehingga tiada pembantu maya yang ingin bekerja dengan anda. Anda boleh tetapkan satu harga yang lebih rendah daripada pasaran untuk satu atau dua perkhidmatan terawal yang diberikan olehnya kepada anda sebagai langkah percubaan. Setelah anda berpuashati dengan hasil kerjanya, maka anda boleh meningkatkan bayaran untuk perkhidmatannya yang seterusnya berdasarkan harga pasaran atau pada harga yang lebih tinggi.

Bagaimana?

Persoalan terakhir yang ingin saya jawab di dalam ruangan ini adalah mengenai bagaimana untuk menguruskan pembantu maya anda?

Sebagai seorang usahawan internet yang hebat, anda perlu memberikan maklumat yang terperinci mengenai tugasan yang anda ingin pembantu maya anda lakukan. Tugasan yang anda berikan perlu spesifik iaitu jelas dan tidak umum. Sebagai contoh, anda ingin pembantu maya menulis satu artikel, jangan berikan tajuk yang terlalu umum seperti “Makanan Kegemaran Saya”. Anda perlu gunakan tajuk yang lebih tertumpu seperti “Kek Keju Coklat sebagai Makanan Kegemaran Saya”. Dengan memberikan tugasan yang spesifik, maka pembantu maya anda boleh memahami dengan lebih jelas keperluan anda dan boleh menyiapkan tugasan seperti apa yang anda inginkan.

Selain itu, anda juga perlu memberikan tempoh masa yang anda inginkan tugasan tersebut disiapkan. Sebagai contoh, artikel tersebut perlu disiapkan pada 30hb September 2013 dan dihantar melalui emel kepada anda selewat-lewatnya pukul 5 petang. Lebih jelas anda berikan maklumat mengenai tempoh masa yang anda perlukan maka akan lebih mudah pembantu maya anda melakukan perancangannya untuk menyiapkan kerja tersebut.

Selepas menyiapkan tugasan yang anda berikan dan pembantu maya telah menghantarnya, anda perlu memeriksa hasil usahanya. Jika ada sebarang perkara yang perlu diperbaiki atau diperbetulkan, maka anda perlu maklumkan kepadanya selewat-lewatnya dalam masa 24 jam selepas anda menerima hasil terakhirnya. Jika anda terlalu lewat memaklumkan kepada pembantu maya anda, mungkin individu tersebut sudah tidak dapat membantu anda lagi kerana dia sudah beralih kepada tugasan lain dengan usahawan internet yang lain. Oleh itu, pastikan anda memaklumkan sebarang pertukaran dengan cepat kepada pembantu maya anda. Secara purata, pembantu maya selalunya akan memberikan peluang 1 – 3 kali untuk memperbetulkan sebarang perkara yang anda inginkan di dalam hasil kerjanya. Jika anda melebihi had tersebut, anda sebenarnya seorang usahawan internet yang bermasalah di mata individu tersebut dan sudah pasti dia tidak ingin lagi bekerjasama dengan anda di masa hadapan.

Itulah sedikit perkongsian yang boleh saya berikan mengenai persoalan-persoalan utama untuk mendapatkan perkhidmatan seorang pembantu maya. Pastikan yang anda jelas tentang apa yang anda inginkan dan sudah pasti pembantu maya akan dapat memberikan seperti apa yang anda inginkan itu.

Sehingga berjumpa lagi di kesempatan yang lain.

Salam hormat dan salam kejayaan!

Tags: , , , , , , , ,

Facebook Comments:

Leave A Reply (3 comments so far)


  1. FaizAlias
    4 years ago

    perkongsian yang baik tuan 🙂


  2. Fairuza Mansor
    3 years ago

    Terima kasih Tuan di atas ulasan lanjut… 😉


  3. Cari Servis Murahi
    2 years ago

    Pembantu maya boleh kurangkan kos untuk bayar gaji… 🙂

Eruwan Gerry Norsen
Usahawan Makan Gaji


 

PERCUMA Untuk Anda
 
PERCUMA Untuk Anda!

Laporan Khas: Rahsia Kejayaan
Dato' Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah


Sila isi nama dan email anda di bawah
untuk menerima laporan ini secara PERCUMA!

Nama:
Email:
 
New Page 1
 

Rujukan Penting!

Sila klik pada imej untuk maklumat lanjut produk.